Khairulorama- Life and work notes

Pain is the predecessor of success.

Lebih Proaktif Isu Sosio ekonomi Melayu

leave a comment »

Professor Diraja Ungku Aziz cepat bersetuju ketika mahu diwawancara tentang isu agenda Melayu yang berbangkit ekoran tulisan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Norraesah Mohamad di halaman ini minggu lalu.Pada hari dan masa yang dijanjikan, Pak Ungku membawa bersamanya Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara II yang diserahkan kepada kerajaan pada 2 November 2000.

Beliau salah seorang anggota badan itu dan duduk di dalam Jawatankuasa Kerja Pembasmian Kemiskinan.

“Penyelesaiannya sudah ada dalam laporan ini tetapi kita selalu mahu mencari cara-cara baru,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI, kelmarin.

Menurut Pak Ungku isu agenda sosioekonomi orang Melayu harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan.

“Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja,” katanya merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam pertemuan itu, Pak Ungku turut membangkitkan satu sikap orang Melayu yang pada pandangannya banyak merosakkan bangsa itu sendiri.

“Orang Melayu tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu,” katanya.

Beliau juga membangkitkan sindrom kacang lupakan kulit di kalangan orang Melayu.

MINGGUAN: Apakah yang terlintas dalam fikiran Pak Ungku selepas membaca tulisan Dr. Norraesah itu?

UNGKU AZIZ: Ia satu tulisan yang sangat baik. Saya seorang yang susah hendak berpuas hati tentang orang lain termasuk terhadap diri sendiri.

Saudara jangan lupa bahawa dia memiliki ijazah kedoktoran sains ekonomi dari University of Paris I Pantheon-Sorbonne, salah sebuah universiti yang terkemuka di Eropah dan universiti nombor satu Perancis sama seperti Oxford dan Cambridge di England dan Harvard di Amerika Syarikat.

Saya fikir beliau ini seorang intelek yang tidak begitu digunakan kepakarannya. Kalau saya diminta menyenaraikan 10 tokoh pemikir wanita di negara ini, senang-senang beliau antara lima yang teratas.

Tulisannya itu padat dan menyentuh secara keseluruhan isu-isu tentang masalah sosioekonomi orang Melayu walaupun tidak dengan mendalam.

Tetapi beliau tidak begitu lantang dalam erti kata tidak mempersoalkan kenapa orang Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu misalnya bertubuh kecil berbanding di negeri-negeri lain. Kenyataan ini bukan pandangan peribadi saya tetapi itulah juga yang dinyatakan dalam laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) negara.

Apa yang saya bangkitkan ini ada kena-mengena dengan isu agenda Melayu ini.

Kenapa tubuh mereka lebih kecil?

UNGKU AZIZ: Saya juga selalu bertanya soalan yang sama: Apakah Tuhan memang menjadikan orang Melayu comel dan kecil?

Keadaan orang Jepun selepas Perang Dunia Kedua juga serupa. Tetapi selepas kalah perang itu mereka bertanyakan soalan yang sama yang kita tanyakan kepada orang Melayu sekarang: “Apa yang tidak kena dengan bangsa ini? Kenapa kita tidak boleh berjaya dalam pelbagai bidang?”

Orang Jepun menemui jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan itu dan mereka menyelesaikannya – pendidikan yang bermutu dan pemakanan yang seimbang. Hasilnya tubuh mereka besar, minda mereka cergas dan kita tahu mereka menguasai ekonomi.

Kejayaan bangsa Jepun itu boleh kita tiru. Hal ini sudah saya kupas dengan panjang lebar beberapa kali sebelum ini.

Apa kaitannya cerita itu dengan perbincangan kita ini?

UNGKU AZIZ: Ada dua perkara yang boleh mengubah nasib orang Melayu pada jangka panjang – pendidikan dan pemakanan yang seimbang.

Pada masa yang sama kita harus mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu. Kalau kita lihat secara keseluruhannya orang Melayu tidak cenderung mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi.

Orang Melayu tidak ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya; tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan seperti orang Jepun dan Eropah. Mereka ada pemikiran itu kerana mereka mahu berjaya. Bangsa Cina juga begitu, selalu berfikir bagaimana mahu memperbaiki diri.

Kita harus mencari jalan bagaimana hendak memberi motivasi kepada orang Melayu supaya berubah.

Pak Ungku ada jawapannya?

UNGKU AZIZ: Orang selalu menyebut tentang anjakan paradigma tetapi saya minta maaf, sebenarnya banyak yang tidak faham pun apa yang mereka katakan itu. Kalau kita asyik berklise kita tidak akan berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Kita mesti mengubah pandangan orang Melayu tentang pendidikan, bahawa ia adalah satu proses sepanjang hayat dan bukan hanya setakat mendapat ijazah saja. Saya sudah berumur 82 tahun. Saya tidak nampak pelik kalau perlu belajar tentang perisian komputer misalnya kerana itu bidang yang saya kurang mahir. Memang susah tetapi saya mencuba dan memaksa diri belajar.

Saya masih sedia belajar walaupun umur sudah begini. Tetapi bagaimana dengan berjuta-juta orang Melayu lain?

Cita-cita Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih 30 tahun lalu. Soalnya kenapa terlalu susah untuk menukar orang Melayu dalam tempoh satu setengah generasi itu?

UNGKU AZIZ: Generasi awal fasa pertama DEB dulu, katakan pada pertengahan tahun 1970-an, sudah berjaya. Banyak yang sudah kita capai dalam bidang pendidikan termasuk menubuhkan pusat asasi sains yang kemudiannya melahirkan doktor dan jurutera Melayu.

Kita telah melalui zaman yang baik itu sehingga awal tahun 1980-an. Selepas itu di bawah kepimpinannya Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan wawasan bahawa orang Melayu boleh survive dalam persaingan yang bebas.

Salahkah wawasan itu?

UNGKU AZIZ: Ia mustahil boleh berlaku. Malah di sesetengah negara maju masih ada kepercayaan bahawa kelompok tertentu harus perlu diberikan perhatian yang lebih dan sedikit istimewa kalau mahu mereka berjaya.

Kelemahan pada orang Melayu yang perlu dibela ini adalah masalah pemikiran masyarakat kita yang telah terbentuk oleh penjajahan. Kita belum bersedia untuk meritokrasi.

Tetapi tidakkah kalau terlalu banyak diberikan bantuan orang Melayu akan jadi begitu manja?

UNGKU AZIZ: Ini satu lagi klise. Bantuan apa yang kita beri? Saya tadi menyebut tentang pendidikan dan pemakanan sebagai ejen perubahan. Tulisan saya dalam laporan Mapen II menyebut bahawa setiap orang harus makan telur ayam sekurang-kurangnya sebiji seminggu.

Hakikatnya kalau kita buat kaji selidik di Kelantan dan Terengganu puratanya hal ini tidak berlaku. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa kita sudah membantu orang Melayu?

Saya bukan bercakap tentang penyelesaian jangka pendek tetapi jangka panjang iaitu melalui pendidikan dan pemakanan.

Apa salah kepimpinan Melayu dalam hal ini?

UNGKU AZIZ: Mereka mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental.

Para pemimpin selalu bercakap tentang hal-hal yang asing. Kita bercakap tentang meningkatkan teknologi dalam pertanian tetapi hakikatnya orang Melayu miskin dan tidak ke mana. Kita juga banyak bercakap tentang pembangunan usahawan tetapi bagaimana sebenarnya mahu menjadikan mereka sebagai usahawan.

Orang Melayu juga bersalah dalam hal ini. Kerajaan misalnya bercakap tentang penguasaan bahasa Inggeris tetapi orang Melayu secara individu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasainya. Kita selalu ada tanggapan bahawa orang lain akan melakukannya dan bukan kita sendiri. Kita menganggap anak kita nanti akan menguasainya.

Apakah yang harus dilakukan oleh pimpinan Melayu untuk menangani masalah ini?

UNGKU AZIZ: Para pemimpin harus duduk berbincang dan menggariskan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh orang Melayu, dan berusaha menyelesaikannya.

Kita perlu jelas apakah agenda Melayu yang hendak kita capai. Kita harus menggariskan cara-cara untuk menjadikan bangsa Melayu berjaya dan cemerlang.

Orang Melayu rata-ratanya Islam dan berpegang kepada al-Quran. Dalam tulisan pentingnya di majalah al-Ikhwan pada tahun 1927 Pendeta Za’ba mengupas sepotong ayat al-Quran tentang manusia hanya mendapat apa yang dia usahakan. Soalnya apakah manusia Melayu yang Islam ini tidak tahu?

UNGKU AZIZ: Mereka tahu tetapi tidak terdaya kerana malas berfikir dan merasakan itu kerja orang lain. Orang Melayu suka duduk dan tengok orang lain buat. Inilah budaya yang harus diubah.

Masalah orang Melayu ialah mereka suka duduk bersembang, pergi wakaf main dam dan mencari keseronokan, baik yang halal atau haram hanya semata-mata untuk mengalihkan tumpuan daripada dunia sebenar.

Inilah simptom budaya kita yang lemah. Kita tidak ada akar budaya yang kuat yang boleh melonjakkan kita ke depan. Cuba lihat budaya orang Cina yang sudah ada pada diri mereka sejak beribu-ribu tahun lalu. Perkataan kiasu itu jelas menggambarkan watak orang Cina. Kenapa orang Melayu tidak kiasu?

Elok juga saudara bangkitkan tentang Pendeta Za’ba. Beliau menulis buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Buku itu kepada saya cukup relevan untuk dibaca semula pada hari ini oleh semua orang Melayu.

Tentang sikap buruk orang Melayu, Munsyi Abdullah juga dulu membangkitkan hal yang sama – kejengkelannya tentang perangai orang Melayu. Gambaran beliau dulu itu masih sama sekarang tetapi setidak-tidaknya Za’ba ada menunjukkan cara keluarnya dalam buku itu.

Bagaimana Pak Ungku melihat isu agenda Melayu ini dan kaitannya dengan UMNO?

UNGKU AZIZ: Para pemimpin UMNO sedang menempatkan diri mereka dalam barisan kepimpinan. Saya hendak bertanya satu soalan yang paling asas: Adakah ini saja yang dikatakan berpolitik?

Kenapa tidak ada pemimpin UMNO yang memberitahu sekiranya terpilih mereka akan memperjuangkan isu-isu pendidikan untuk orang Melayu atau skim makanan khas untuk para pelajar Melayu, misalnya. Inilah yang harus ditanyakan oleh orang Melayu kepada para pemimpin yang hendak bertanding ini: Apa program mereka untuk orang Melayu?

Dalam pemilihan jawatan politik di negara lain, para pemimpinnya bersaing atas isu-isu. Tetapi dalam pemilihan UMNO tidak ada pemimpin yang menyatakan program-program mereka untuk orang Melayu.

Ini yang saya katakan masalah pemikiran orang Melayu tadi – “orang lain akan buat”, orang yang dipanggil pakar. Mereka hanya perlu menang saja seolah-olahnya yang lain itu akan berlaku dengan kuasa ajaib.

Kita terlalu individualistik. Kita tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu.

Maksudnya?

UNGKU AZIZ: Kita hendak naik sendiri-sendiri. Kita kena tahu membezakan antara perjuangan untuk kepentingan individu atau perjuangan untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu.

Itu sebabnya kita kena tahu apakah yang mereka hendak tawarkan atas isu-isu orang Melayu. Itulah caranya berpolitik. Jangan kita ada kepercayaan yang naif bahawa pakar-pakar akan menyelesaikan masalah. Kalau mahu jadi pemimpin harus boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Tetapi untuk berlaku adil kepada mereka ada yang menyebutnya juga.

UNGKU AZIZ: Ya, tetapi secara umum saja. Apa yang hendak saya tekankan ialah mereka tidak bertanding atas isu-isu yang menyentuh orang Melayu. Mungkin juga mereka tidak memahami isu-isu yang dihadapi oleh orang Melayu.

Atau mungkin juga kerana ada arahan jangan berkempen?

UNGKU AZIZ: Jadi mereka ini bertanding untuk apa? Bolehkah sebuah pemilihan berlaku tanpa ada kempen? Itulah idea demokrasi.

Sekiranya pemimpin UMNO dibenarkan berkempen dan mereka menyatakan agenda mereka, bolehkah politik wang ditangani?

UNGKU AZIZ: Sudah tentu. Mereka akan berjuang atas isu. Kekuatan seorang pemimpin yang hendak dipilih itu akan ternampak melalui pemikirannya tentang sesuatu isu.

Ini satu masalah juga. Kenapa kita menyebut politik wang dan bukan rasuah? Realitinya itulah rasuah. Orang Islam yang baik tidak akan melakukannya. Tetapi sekarang ini kita mengaburkannya dengan mengatakan bahawa itu politik wang.

Apa pandangan Pak Ungku terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya UMNO lebih proaktif memperjuangkan agenda sosioekonomi Melayu dan tidak bergantung kepada kerajaan?

UNGKU AZIZ: Itulah yang sepatutnya. Parti juga harus ada agendanya sendiri, membincangkannya dengan mendalam dan mencadangkan penyelesaiannya kepada kerajaan. Kerajaan hanya pelaksana tetapi agendanya ditentukan oleh parti. Kita harus memahami kelemahan kerajaan kerana ia birokrat. Birokrat tidak boleh berfikir di luar kebiasaan.

Selain itu, ahli korporat Melayu yang berjaya kerana dasar-dasar yang melahirkan kelompok besar kelas menengah Melayu harus juga membantu orang Melayu lain. Apabila sudah lepas ke atas mereka ini seolah-olah terpisah daripada kelompok di bawah. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Golongan kacang lupakan kulit inilah yang perlu didekati oleh kerajaan dan UMNO.

Written by khairulorama

January 29, 2011 at 10:14 pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: