Khairulorama- Life and work notes

Pain is the predecessor of success.

..Ungku Aziz’s Specials RMK-9

with 6 comments

Dari utusan Malaysia, 9 April.

Mukadimah
PEMIKIR ekonomi yang disegani, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz dikenali sebagai antara orang yang cukup gigih menghabiskan masanya memikirkan tentang masalah kemiskinan desa.

Bukunya Jejak-jejak di Pantai Zaman yang terbit pada tahun 1987 sehingga hari ini kekal menjadi salah satu analisis yang cukup menarik tentang kemiskinan orang Melayu.

Tulisan beliau yang menghuraikan pemikiran Pendeta Za’ba tentang kemiskinan orang Melayu serta strategi-strategi pembasmiannya itu masih relevan untuk direnungkan sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang yang tidak begitu percaya kepada usaha peningkatan ekuiti orang Melayu sebaliknya lebih cenderung kepada pendekatan merapatkan jurang kemiskinan melalui penambahan pendapatan, Pak Ungku nyata cukup gembira dengan apa yang dibentangkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), baru-baru ini.

Pak Ungku cukup tertarik kepada pendekatan baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memajukan kawasan luar bandar dan desa, dan beliau menaruh keyakinan bahawa semua cita-cita itu boleh dicapai.

“Tidak ada yang mustahil, terpulang kepada pengurusan dan pelaksanaannya.

“Tidak ada dalam RMK-9 ini yang tidak boleh dilaksanakan. Kita bukannya Nepal, kita Malaysia,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI yang datang berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.

Pak Ungku, 83, berpegang kepada analisis awalnya bahawa kemiskinan orang Melayu berpunca daripada tiga sebab: Produktiviti yang rendah, penindasan dan keadaan yang terabai.

Beliau banyak bercakap tentang pentingnya orang Melayu menukar perspektif dan pemikiran mereka tentang hidup, tentang usaha dan tentang mencari kekayaan.

Pak Ungku cukup yakin bahawa nasib orang Melayu yang rata-ratanya masih ketinggalan dari segi ekonomi boleh diubah, asal saja pemimpin bersedia memaksa orang Melayu untuk melakukan sesuatu yang baru.

MINGGUAN: Apakah yang paling menarik perhatian Pak Ungku dalam RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Ada perbezaan yang ketara antara dulu dan sekarang, antara RMK-9 dengan RMK-8 atau RMK-7. Ini satu perubahan yang besar dan sangat nyata. Idea utama sebelum ini ialah satu kepercayaan bahawa Malaysia akan maju dari segi industri, menjual perkhidmatan dan kewangan.

Idea sebelum ini ialah pembangunan industri akan membawa kepada kemajuan negara. Kalau nasibnya baik, kemajuan itu akan trickle down (meleleh) ke kawasan luar bandar dan desa. Tetapi masalahnya ialah orang lain dapat sungai, orang Melayu secara sebaliknya dapat titis-titisnya saja.

Kepada saya, simbol daripada idea itu sebahagiannya boleh kita lihat pada Putrajaya yang ada bangunan yang cantik-cantik dan sebagainya. Tetapi kalau kita bandingkan dengan keadaan di desa, di Kedah dan Kelantan misalnya, kata orang, sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekor.

Ini sangat menyedihkan kepada saya. Kita tidak memberikan keutamaan kepada keadaan di desa. Itu sebabnya kita harus kembali kepada semangat Dasar Ekonomi Baru iaitu membasmi kemiskinan, terutamanya golongan desa yang masih berhadapan dengan kemiskinan yang menyeluruh.

Bagaimana dengan RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Kita boleh melihat ada satu perspektif yang baru, yang memberikan perhatian dan keutamaan baru kepada pembangunan desa. Ini sesuatu yang sangat menarik kepada saya.

Malah sejak menang pilihan raya yang lalu pun, Perdana Menteri nampaknya sudah memikirkan usaha-usaha bagaimana hendak menolong orang kampung, meningkatkan pertanian dan keadaan mereka di utara Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.

Mereka ini, kalau mengikut analisis saya, secara relatifnya telah banyak terabai. Abdullah sedang berusaha sedaya upaya untuk cuba memberikan satu timbalan kepada pembangunan negara; menyeimbangkan antara pembangunan di bandar dan di desa, serta merapatkan jurang ekonomi rakyat.

Apakah hal-hal yang selama ini mengganggu Pak Ungku, tentang kemiskinan desa khususnya, sudah terjawab dalam cita-cita RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Abdullah sudah mula menjawab hal-hal itu. Beliau cukup sedar tentang itu tetapi pada masa yang sama, ada banyak masalah dan kerenah birokrasi yang harus diselesaikannya dulu.

Masalah utama kita iaitu penyampaian. Kita boleh menjanjikan sesuatu tetapi untuk melaksanakannya adalah satu perkara yang lain pula. Tugas utama Abdullah sekarang ialah memastikan semua cita-cita itu terlaksana.

Bolehkah kita membangunkan luar bandar, membasmikan kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi? Saya bertanyakan soalan ini kerana itulah juga cita-cita DEB.

UNGKU AZIZ: Sudah tentu, kenapa tidak? Kita mempunyai tanah, sumber yang utama kepada segala usaha pembangunan ini.

Tetapi cuba kita lihat bidang pertanian. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa yakin kita boleh mengubah pertanian daripada keadaan yang ada sekarang kepada sesuatu yang lebih moden seperti di Amerika Syarikat, Australia atau Belanda.

Kenapa?

UNGKU AZIZ: Ia melibatkan kos yang banyak, berintensifkan modal. Ladang-ladang di Australia misalnya besar, dan ia tidak menjadi masalah. Kita tidak mungkin dapat jadi seperti Australia.

Tetapi kita boleh melakukannya sekarang kalau kita tidak lagi cuba mengeluarkan hasil pertanian yang nilainya tidak begitu tinggi, misalnya padi. Saya percaya kalau kita import padi yang lebih murah dari Thailand, ia masih lagi menguntungkan negara.

Kita tidak usah tanam padi, maksudnya?

UNGKU AZIZ: Ya, kita gantikan padi itu dengan sayur-sayuran. Kenapa petani kita tidak menanam sayur-sayuran dengan meluas? Kenapa kita hadkan penanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands? Kenapa tidak ada kebun sayur yang besar di tempat lain? Kita boleh tanam untuk kegunaan tempatan dan selepas itu boleh dieksport. Jangan kita bermula dengan berfikir untuk eksport saja. Itu kepada saya, mengarut. Apa-apa hal, perut orang kita harus diisikan dahulu.

Kenapa orang Melayu tidak cuba menanam dan menjual bunga? Bunga-bungaan sudah boleh dijual ke seluruh dunia dengan jaringan lapangan terbang yang baik sekarang. Tetapi penanaman dan penjualan bunga dikuasai hampir secara monopoli oleh orang Cina, dan terhad di beberapa kawasan saja.

Saya tidak boleh faham kenapa orang Melayu tidak menjadi penanam bunga dan penjual bunga? Apa yang mereka tidak tahu tentang pertanian? Orang Melayu adalah masyarakat pertanian selama beribu-ribu tahun. Apa masalahnya?

Ya, apa masalahnya?

UNGKU AZIZ: Kepada saya, ini adalah masalah mindset. Kita harus menukar mindset itu – jangan tanam padi, tanam bunga; jangan tanam padi, tanam sayur-sayuran. Insya-Allah, hasilnya lebih baik.

Malah kalau orang Melayu menanam ubi kemili pun hasil pendapatannya tentu lebih baik. Orang Melayu boleh menambahkan pendapatan yang lebih lumayan bukan hanya dengan menanam ubi tetapi menghasilkan kerepek. Adakah ini berlaku?

Kita selalu bermimpi tentang kumpulan profesional yang akan menguruskan ladang, tetapi di mana mereka ini? Apa yang saya nampak ialah pengurus ladang komoditi yang dieksport, dan mereka bukannya mengendalikan hasil pertanian barang keperluan seharian kita.

Apakah pandangan Pak Ungku tentang usaha untuk membangunkan kawasan ekonomi baru di utara dan timur Semenanjung.

UNGKU AZIZ: Ini sesuatu yang baik tetapi pada masa yang sama, kita harus berhati-hati. Kita harus menggunakan pembangunan koridor baru itu untuk kemajuan orang Melayu di desa. Apabila kita membuka jalan dan kawasan pembangunan baru kita harus juga memerhatikan siapa yang masuk dan membuka perniagaan di situ.

Orang Melayu di Gua Musang, misalnya, adalah orang Melayu yang sama keadaannya sejak bertahun-tahun dahulu, tidak jauh berubah. Sekarang kita sudah ada lebuh raya yang menghubungkan antara Cameron Highlands dengan Gua Musang. Apakah yang akan berlaku selepas ini?

Saya percaya akan ada orang yang datang untuk membeli tanah, membuka kawasan perumahan dan perindustrian. Tetapi apakah orang Melayu di kawasan itu akan merebut peluang itu, atau mendapat manfaatnya? Apabila tidak cukup pekerja, kita mencari pekerja dari Indonesia.

Kita perlu menyelesaikan masalah-masalah ini kalau kita mahu meningkatkan keadaan sosioekonomi orang Melayu. Kita perlu mengubah mindset.

Ini soal sikap. Apa lagi masalah orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah perspektif dunia dan pemimpin yang banyak bercakap serta sentiasa berfikir untuk menukar butang pada kotnya, daripada butang biasa kepada butang emas; selalu memikirkan tentang pangkat dan stail, dan kurang memikirkan tentang rakyat.

Tetapi daripada SMS yang disiarkan dalam akhbar, televisyen atau radio, orang Melayu nampaknya sudah mula sedar. Bara kesedaran itu sudah ada dan kalau dikipas ia nanti akan menyala.

Dalam hendak membasmikan kemiskinan dan membangunkan desa, ada orang percaya kita tidak lagi boleh menggunakan cara-cara lama untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baru. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Kata orang, semakin keadaan berubah, semakin semuanya kekal begitu juga. Balik-balik begitu juga, dan dari satu segi, kalau difikir-fikirkan kita sebenarnya tidak banyak berubah. Cara-cara lama itu kononnya jadi semacam biawak di atas belakang, yang sekarang ini hendak kita buang. Kita boleh membuang biawak itu tetapi mesti ada idea baru yang sudah ada di situ.

Saya suka hendak menyebut semula tiga punca kemiskinan yang pernah saya kaji sebelum ini, iaitu produktiviti yang rendah, penindasan dan keadaan yang terbiar.

Produktiviti masyarakat Melayu di desa secara relatifnya begitu rendah kalau dibandingkan misalnya, dari segi waktu bekerja atau saiz tanah yang dikerjakan. Orang Melayu juga memang sering ditindas dan mendapat pulangan yang tidak setimpal, termasuk kadang-kadang ditipu oleh orang Melayu sendiri. Keadaan terbiar itu berlaku kerana sumber yang ada itu diberikan keutamaan kepada kawasan kota dan kepada sekumpulan orang tertentu.

Kenapa kita tidak memerlukan cara-cara baru?

UNGKU AZIZ: Kenapa harus ada cara-cara baru kerana masalahnya masih juga yang itu? Kita harus meningkatkan produktiviti, memastikan tidak ada penindasan dan memberikan perhatian kepada kawasan dan kumpulan yang terbiar.

Tetapi sekarang ada perubahan yang besar dalam pendekatan Abdullah melalui RMK-9 ini. Beliau mahu memberikan peluang kepada orang Melayu, kepada masyarakat di luar bandar. Perubahanperubahan itu pula bukanlah sesuatu yang tidak boleh dilakukan, bukan sesuatu yang mustahil.

Allahyarham Prof. Nik Abdul Rashid Nik Majid dalam satu analisisnya mengatakan ada tiga jenis kemiskinan. Pertama, kemiskinan semula jadi yang cukup sukar diatasi akibat faktor sumber dan alam. Kedua, kemiskinan yang dikenakan apabila seseorang tidak boleh melakukan sesuatu walaupun berdaya dan mampu. Ketiga, kemiskinan yang dicari iaitu orang yang sedar perbuatannya mendatangkan kemiskinan tetapi dia buat juga.

UNGKU AZIZ: Apa yang utama ialah kemiskinan yang kedua itu. Tentang kemiskinan yang pertama itu, saya percaya ada jalan penyelesaiannya. Suatu masa yang lama dahulu, di tengah-tengah Gurun Sahara ada pusat perdagangan yang besar.

Jadi, apa yang penting di sini ialah sikap manusia itu sendiri. Ia bergantung kepada manusia. Manusia boleh membuat padang pasir menjadi makmur. Inilah yang selalu saya sebutkan dengan mengulang-ulang pesanan Pendeta Za’ba, perangai bergantung kepada diri sendiri.

Saya lebih suka melihat kepada kemiskinan jenis yang kedua itu. Isu yang penting ialah peluang. Adakah kita mempunyai peluang yang banyak? Kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk membasmikan kemiskinan dengan peruntukan yang besar. Tetapi soalan penting yang harus ditanya oleh semua orang sekarang ialah apakah masyarakat di desa, di luar bandar, di utara Semenanjung Malaysia itu akan merebut peluang-peluang ini.

Ini akan banyak bergantung kepada kesungguhan diri. Kita harus menukar sikap orang tentang kesungguhan. Orang muda mesti ada harapan.

Apakah kita ada harapan?

UNGKU AZIZ: Ada, contoh-contohnya juga ada. Sekarang ini kalau kita lihat di universiti, 65 hingga 70 peratus ialah wanita dan kebanyakannya Melayu. Mereka sudah memegang jawatan penting dalam masyarakat. Ertinya, kita sudah memberikan peluang dan mereka mengambil peluang itu, ada ilmu dan kepakaran teknologi.

Kalau ada yang tidak mencapai peluang yang diberikan itu, kita mesti mula mencari apa puncanya.

Bagaimanakah mahu melaksanakan perubahan cita-cita dalam RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Itulah yang menjadi cabarannya sekarang. Membuat janji, mudah tetapi melaksanakannya itu lebih penting. Saya berharap semua orang memahami apa yang dicita-citakan ini. Orang mesti sedar bahawa ini satu peluang yang terbaik untuk kita membasmikan kemiskinan.

Saya kata begitu kerana Abdullah diketahui seorang pemimpin yang jujur. Orang di sekelilingnya, itu cerita lain tetapi beliau sendiri sifatnya telah diketahui. Wataknya memang begitu. Saya kenal beliau sejak dari zaman mahasiswanya lagi. Beliau telah dibesarkan dengan pengaruh ayah dan datuknya yang warak tetapi bukan kuno.

Apakah yang boleh menggagalkan usaha-usaha perubahan ini?

UNGKU AZIZ: Abdullah sendiri pun hampir setiap hari atau setiap minggu sekarang, saya kira perkataan yang sesuai ialah, berleter kepada para pegawai kerajaan. Beliau nyata cukup tidak berpuas hati melihat budaya kerja birokrat yang tidak akan membantu usaha-usaha pembangunan ini.

Sekarang ini kita membawa orang dari Universiti Harvard untuk membetulkan sektor awam. Saya tidak tahu apakah yang boleh diberitahu oleh orang dari Harvard ini yang kita sendiri belum tahu? Kuncinya ialah bagaimana memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, atau rasuah dan penyelewengan.

Perkara yang paling utama ialah penyampaian. Kita ada idea yang baik dan sumber yang baik tetapi bagaimana hendak memastikan ia tidak diseleweng oleh birokrat atau korporat yang tidak jujur.

Bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah ini?

UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti merasakan rasuah itu sebagai satu dosa. Tetapi masalahnya orang tidak lagi rasa berdosa sehingga ia menjadi lumrah dan orang tidak lagi sedar dia rasuah.

Kita harus menekankan bahawa rasuah itu satu dosa, baik penerima mahupun pemberi. Kalau ada rasa yang seperti itu, dalam hati nurani mereka akan timbul kesedaran untuk tidak melakukannya.

Orang Islam harus sedar bahawa setiap orang suatu hari pasti akan meninggal dunia. Selepas mati, orang yang berdosa akan masuk neraka. Apabila berhadapan dengan rasuah orang mesti ada kesedaran seperti ini. Tetapi orang sebaliknya percaya setelah rasuah mereka boleh menggandakan ibadah untuk menyeimbangkan pahala dan dosa.

Apa lagi yang perlu orang Melayu lakukan?

UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti kiasu sedikit. Mesti ada perasaan mahu berjaya, tidak kira apa juga halnya dan tidak pedulikan orang lain. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri.

Bolehkah kita bentuk watak baru itu?

UNGKU AZIZ: Kita mesti ada pemimpin yang bersedia memimpin. Kita tidak mahu pemimpin seperti dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berebut jawatan sesama mereka seperti ulat tahi. Mereka sepatutnya memimpin belia Melayu tetapi tengok apa yang berlaku. Teruk.

Bagaimana mahu mengatasi masalah sikap yang Pak Ungku sebutkan itu?

UNGKU AZIZ: Aspirasi orang muda khususnya lelaki bak kata orang Cina, chinya telah hilang. Tayarnya pancit, angin sudah keluar. Kita mesti betulkan kebocoran itu dan pam angin yang baru supaya dia boleh jalan lagi. Inilah yang harus diberikan perhatian sekarang – membina satu sikap baru.

Bagaimana?

UNGKU AZIZ: Tentunya bukan dengan syarahan dan ceramah. Kita mesti menunjukkan contoh, memberikan latihan dan paksa mereka buat. Orang Melayu mudah berubah dan memberikan respons yang lebih baik dengan paksaan berbanding pujuk rayu. Kalau kita pujuk-memujuk, nanti ada pelbagai alasan macam loyar buruk.

Mereka memerlukan orang yang boleh mengatakan: “Buat! Mari kita naik bot pergi ke laut dan bawa balik ikan besar.” Kita mesti paksa kalau kita mahu membetulkan perspektif orang Melayu. Kita mesti jelas tentang apa yang kita mahu mereka lakukan.

Kenapa kita mesti paksa?

UNGKU AZIZ: Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya adalah satu daripada kejayaan cara paksaan ini. Kita pilih anak desa untuk diberikan peluang, dan kita paksa mereka; kalau lulus baru boleh naik semester, kalau tidak balik kampung. Selepas lulus dua semester, mereka masuk ke fakulti perubatan atau kejuruteraan.

Kita boleh lihat kejayaan paksaan itu daripada senarai nama mereka yang pernah melalui Pusat Asasi Sains. Tetapi malangnya ia sekarang disabotaj sejak beberapa tahun lalu apabila kita memperkenalkan sistem meritokrasi. Kita sudah tersilap perkiraan. Kenapa kita bercakap tentang meritokrasi ketika orang Melayu itu sendiri sudah handicap?

Masuk saja ke universiti mereka sudah ketinggalan dari segi penguasaan bahasa, kemahiran belajar, badan yang tidak sihat dan sebagainya. Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action, seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain. Kenapa kita harus teragak-agak untuk melakukannya? Kita mesti jelas dan tegas.

Tetapi orang melihat ini tidak lagi sesuai, bersifat perkauman.

UNGKU AZIZ: Kita mesti jelas dan tegas kenapa kita harus menggantungkan meritokrasi sehinggalah ke satu masa yang sesuai, apabila ada keseimbangan. Sekarang ini keseimbangan itu tidak ada. Jurangnya masih besar. Apakah kita tidak mahu membetulkan keseimbangan itu ketika wanita menguasai universiti? Ini tidak seimbang dan akan menimbulkan masalah besar di kemudian hari.

Kita mesti hadapi ini dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang Melayu, dan kita mahu menakluk dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku Melayu dan mengatakan kita orang Malaysia. Kalau Melayu, Melayulah. Saya melihat ini adalah satu affirmative action, walaupun kita tidak menggunakan perkataan ajaib itu.

Harapan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya anggap ini sebagai satu wake up call. Tetapi sama ada orang dengar dan selepas itu terus tertidur, hanya masa beberapa tahun akan datang ini yang boleh menentukan.

Kita misalnya harus memikirkan apakah kita mahu melahirkan usahawan yang benar-benar usahawan, atau usahawan yang setengah masak – sekerat usahawan, sekerat pentadbir seperti yang ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?

Kita mesti melahirkan lebih banyak usahawan yang naik dan jatuh kerana mereka berani mengambil risiko. Keberanian itulah yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya, atau kurang berjaya atau rugi tetapi mampu bangun semula. Kita tidak mahu usahawan yang kalau rugi menyerahkan masalah itu kepada kerajaan, dan bukan masalah mereka.

Kalau mahu jadi usahawan kita mesti kiasu. Kalau untung, untung. Kalau rugi, sanggup bangun semula.

Written by khairulorama

October 1, 2006 at 3:36 pm

6 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. saya bersetuju dengan pendapat-pendapat yang diutarakan oleh Pak Ungku (PU), tetapi pendapat Pu tentang menukarkan tanamn padi kepada sayuran dan bunga saya tidak bersetuju. ini kerana untuk menghadapi masa depan yang kita sendiri tidak tahu tentang kesudahnnya mestilah bersedia dengan bekalan makanan.. contohnya jika berlaku peperangan negara kita mestilah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk penduduk negara dan tidak perlu bergangtung kepada negara lain seperti pendapat yang dikeluarkan oleh PU untuk membeli beras daripada negara Thai.

    sekian..

    aries

    April 18, 2007 at 5:25 pm

  2. saya bersetuju dengan pendapat-pendapat yang diutarakan oleh Pak Ungku (PU), tetapi pendapat Pu tentang menukarkan tanaman padi kepada sayuran dan bunga saya tidak bersetuju. ini kerana untuk menghadapi masa depan yang kita sendiri tidak tahu tentang kesudahnnya mestilah bersedia dengan bekalan makanan.. contohnya jika berlaku peperangan negara kita mestilah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk penduduk negara dan tidak perlu bergangtung kepada negara lain seperti pendapat yang dikeluarkan oleh PU untuk membeli beras daripada negara Thai.

    sekian..

    aries

    April 18, 2007 at 5:27 pm

  3. pak ungku merupakan seorang ekonomis, saya berpendapat bahawa, matlamat yang ingin diutarakan adalah pembangunan luar bandar.

    Andaikata, pembangunan luar bandar tidak difokuskan saya merasakan akan ketinggalan lah anak-anak melayu yang berpontensi.

    Bukan begitu.

    ya, mungkin pasaran bunga tidak terlalu komersial di malaysia, tetapi itulah juga alasan yang diberikan ketika mula-mula, sweden, amsterdan dan eu countries sebelum mereka mendominasi pasaran bunga antarabangsa.

    terima kasih atas pendapat saudara

    khairulorama

    April 19, 2007 at 4:22 pm

  4. Begitulah seseorang yang cukup faham tentang keadaan orang Melayu apabila bercakap atau memberi komen. Kemiskinan yang diungkapkan oleh Pak Ungku itu memang tepat dengan keadaan orang Melayu sekarang. Kemiskinan boleh diatasi dengan perubahan sikap yang mempunyai semangat kiasu.

    Sudah tiba masanya sekarang untuk orang Melayu tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Namun, dalam masa yang sama kerajaan pula jangan menyusahkan rakyat untuk berjaya (Birokrasi).

    Rehabilitation pemikiran pegawai-pegawai kerajaan yang suka tukar butang baju, bergaya dan sebagainya.

    Aziz

    August 20, 2007 at 4:25 pm

  5. Pak Ungku, kenapa kita tidak banyak mentingkap keberkesanan fungso zakat yang dalam sejarah Kegemilangan Islam memainkan peranan penting dalam membanteras kemiskinan sehingga kemiskinan sifar sepenuhnya, pada pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz?

    Ini mungkin the “missing piece” dalam “jigsaw puzzle” kita?

    Cucuk Tanam Padi Bunting

    April 13, 2008 at 2:43 pm

  6. pak engku..

    kenyataan pak engku memang tidak dapat di sangkal lagi. tentang tanaman padi kepada tanaman bunga atau sayuran juga tidak dapat untuk dinafikan.

    saya juga berpendapat begitu kerana pengeluaran padi malaysia adalah sangat kecil berbanding dengan negara negara serantau yang lain kerana kawasan penanaman yang terhad, jadi pengeluaran padi tidak dapat menampung penggunaan walaupun untuk dalam negara.

    sebagai alternatif, tukarkan kawasan penanaman padi tersebut kepada tanaman yang tidak memerlukan keluasan kawasan penanaman yang tinggi.

    ubah kan kepada tanaman seperti buah buahan, sayuran, bunga dan sebagainya yang lebih memberi keuntungan.

    masyarakat melayu sendiri juga perlu berubah pemikiran. sifat dengki dan iri hati perlu ada. tapi bukan menyelesaikan dengan cara sabotaj. guna pendekatan profesional.
    “BERSAING SECARA SIHAT”

    SEKIAN…

    malay-sia

    May 12, 2009 at 10:14 am


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: